Adakah pernah terlintas di dalam fikiran anda untuk menggunakan kad kredit dengan tujuan melangsungkan majlis perkahwinan. Saya rasa ada dikalangan anda yang terlintas untuk berbuat demikian.

Bahaya Menggunakan Kad Kredit Untuk Majlis Perkahwinan

Kad kredit kadang kala boleh menjadi perangkap dalam diri kita sendiri. Jadi jika anda yang bakal berkahwin di luar sana yang menggunakan kad kredit untuk membeli persiapan perkahwinan, hendaklah hentikan tabiat tersebut. Hal ini berlaku kerana ia ibarat menanggung hutang pada diri anda sendiri. Tatkala majlis perkahwinan sudah pun selesai, fikiran menjadi tidak tenang memikirkan kad kredit yang akan dibayar. Hutang dengan ceti teknologi ini dirasakan lebih teruk daripada berhutang dengan ceti haram.
Ukur baju di badan sendiri, pepatah ini seharusnya menjadi renungan buat bakal pengantin yang sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan. Dalam semua perbelanjaan sekalipun, pastikan kita melihat diri kita sendiri.mampu atau tidak. Memang benar, biar papa asal bergaya. Namun kehidupan selepas berkahwin lebih penting kerana disitulah bermulanya fasa kehidupan anda.Jika semuanya sudah dihabiskan ketika berkahwin, apa pula yang tinggal untuk kehidupan selepas berkahwin? Ketika itu, bukan anda seorang sahaja yang perlu diambil kira, malah kehidupan pasangan anda juga perlu diambil berat.
Penggunaan wang tunai lebih baik daripada penggunaan kad kredit ketika anda sibuk membeli barang-barang terutamanya barang hantaran. Jika menggunakan wang tunai, anda akan tahu aliran keluar masuk wang. Belilah barang yang perlu sahaja dan elakan pembaziran. Sikap keangkuhan dan berlebih-lebihan inilah yang menjerat diri sendiri kepada kancah hutang yang berpanjangan dan tiada penghujungnya. Bersederhanalah ketika berbelanja dan disebabkan sikap ingin menunjuk-nunjuk, ramai pemilik kad kredit berbelanja tanpa sebarang tujuan dan terlebih bajet,
Elakkan penggunaan berlebihan.

Perlu diingatkan zaman teknologi yang serba canggih ini semuanya bergerak pantas, bercinta pun pantas, berkahwin pun pantas tetapi hutang pula keliling pinggang. Akibatnya, baru setahun dua melayari bahtera perkahwinan, pergaduhan sering berlaku antara pasangan akibat hutang kad kredit yang semakin membebankan. Oleh itu, biarlah bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian.
Bagi anda yang belum memiliki kad kredit, usah memulakannya dan bagi anda yang sudah memulakannya, berikut adalah tip-tip tambahan yang perlu anda ambil kira:
1. Sentiasa ingat Kad kredit bukanlah wang percuma
2. Gunakan kad kredit sebagai pembayaran dan bukan sebagai kredit percuma.
3. Jika anda tidak pandai menggunakannya dengan waras, hentikanlah penggunaan kad kredit untuk mengelakan hutang berpanjangan.
4. Cajkan untuk barangan yang anda mampu bayar.
5. Elakkan penggunaan sehingga melebihi had pendapatan anda. Kemudahan kad kredit akan menyebabkan anda berbelanja tanpa disedari.
Jika masih berhutang tinggalkan sahaja kad kredit kerana meninggalkan kad kredit bermakna anda meninggalkan hutang anda.
Leave a Reply