Pasangan yang baru mendirikan rumahtangga pasti tercari-cari cara menawan hati mertua dalam mencapai keserasian dengan keluarga mertua . Bukan mudah untuk menawan hati ibu mertua.Jika tidak kena caranya sampai bila-bila tidak boleh bergaul mesra.
Bagaimana cara menawan hati mertua

Jaga penampilan diri
Kata orang pandangan pertama itu penting. Maka itu ,menantu perlu memberikan pandangan pertama yang baik kepada mertua. Ia bukan meliputi soal kecantikan luaran sahaja, kecantikan dalaman itu juga penting. Maksudnya disini ialah jaga penampilan diri termasuk soal berpakaian dan juga keperibadian. Kenali juga mertua anda. Jika mertua jenis yang pembersih maka menantu perlu tahu seleranya dengan tidak memakai pakaian yang kusut masai. Menantu juga perlu belajar untuk jadi pembersih sepertinya. Hal ini kerana, mentua bersusah payah membesarkan anaknya dengan penuh displin dan kebersihan. Jika dilihat menantunya tidak dapat menjaga anaknya seperti dirinya menjaga anaknya dahulu bukankah hatinya akan tercalar.
Bangun awal

Ketika berada dirumah mertua elakan bangun sehingga hari sudah meninggi. Jangan harap diri sama ketika berada dirumah ibu bapa anda. Mereka sudah terbiasa dengan sikap anda seperti itu. Sebaliknya mertua baru sahaja mengenali anda. Pastinya dia mengharapkan anda adalah wanita terbaik pilihan anaknya.
Belajar Memasak
Jika mertua seorang yang gemar memasak, menantu perlu tingkatkan diri dengan belajar memasak sehingga pandai.Ilmu yang diperoleh bukan sahaja menawan hati mertua malah dalam masa yang sama suami juga bertambah sayang setiap kali menikmati juadah enak dari air tangan isteri . Sebaiknya bangunlah seawal pagi dan belajar-belajarlah menyediakan sarapan untuk mertua. Jika anda tidak berapa pandai memasak, jangan merasa gusar untuk bertanya.
Berikan Hadiah
Mertua juga ibarat ibu bapa sendiri, jadi hargai mereka sebagai mana anda menghargai ibu anda. Maka itu, berikan mereka hadiah setiap kali tiba hari besar mereka. Maka jangan segan untuk menyelidik tarikh lahirnya atau menyambut hari ibu dengannya. Sebenarnya ibu mertua tidaklah terlalu mengharap hadiah yang besar-besar dari menantunya, tetapi bagaimana menantunya bijak untuk mengambil hatinya itulah menawan hati mereka.
Melawat dan Menjaga ketika Sakit

Sekiranya ibu atau bapa mertua terlantar sakit, segeralah mengambil cuti dalam sehari untuk menjaganya. Walaupun keadaan kerja yang banyak dan terlalu sibuk cuba untuk mencuri masa untuk datang menziarahi mertua. Ringankan tulang membantu mertua menyediakan dan menyuapkan makanan, membersihkan pakaian dan membantu dari segala segi. Ini secara langsung dapat mengeratkan hubungan kasih sayang antara satu sama lain.
Dengar Luahan
Anda perlu melayan dan mendengar dengan iklhas, Setiap yang dilakukan bukan sekadar meminta balasan daripadanya. Misalnya disayangi atau sebaliknya. Tetapi tujuannya ialah untuk memberi kebahagiaan kepadanya. Oleh itu anda perlu bijak mengawal emosi diri ketika berhadapan dalam apa jua situasi ketika bersama mertua. Tidak salah mendengar perbualannya dengan tenang. Jangan pula anda yang ingin bercerita. Adakalanya orang yang lebih tua ini lebih senang untuk bercerita, maka dengarkanlah luahan hatinya dengan lapang dada. Dan janganlah sesekali ambil hati dengan kata-katanya.
Anggap sahaja ianya adalah nasihat yang paling baik untuk anda terima. Menantu yang baik bukan sahaja menjadi pendengar yang baik malah membantu menyelesaikan masalah yang di alami oleh mertua mereka.
Leave a Reply